Thursday, October 19, 2017

Karya Terbaharu Sudah Terbit...Dapatkan Naskah Salju Timur!

[Bintang yang mengerdip di langit bagaikan cahaya kecil dari kapal di laut. Awan yang berarak sekawan pula sepertinya sedang meraikan kegembiraan zikir bersahut-sahutan di bumi Madinah. Beberapa ekor burung juga turut menari-nari sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

 Kesemuanya adalah aturanNya. Aturan alam yang sepertinya meraikan ulangtahun kelahiran besar baginda pada hari itu. Hembusan angin di tanah gersang juga seolah-olah tiada tanda kepanasan, biarpun suhunya mencecah hingga  40 darjah celcius.]


Ya, di atas adalah antara intipati yang terkandung dalam novel keduaku yang sudahpun diterbitkan.

Novel ini dirumuskan mempunyai nilai-nilai keagamaan, kekeluargaan, persahabatan, kemasyarakatan, budaya dan kepercayaan yang digambarkan di dalam cerita itu sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Novel pembangun jiwa yang sarat dengan penerapan unsur Islam ini juga telah membuktikan wujudnya nilai modal insan untuk membangunkan generasi.

Pembaca dapat mengambil nilai-nilai yang bermanfaat. Nilai ini memberi gambaran nilai yang masih wujud dalam masyarakat sebenar di luar novel. Ia merupakan pengajaran secara tidak langsung daripada pengarang.

Untuk menilai sendiri kekuatan novel Islamik ini, boleh mendapatkan naskah ini daripada syarikat pengeluaran (c)Wanna A.R Publishing. Sebarang tempahan sila hubungi di talian 010 222 6002.



Penerbit Dan Pengarang,

WANNA A.R

Sunday, August 27, 2017

575 KM




Bukankah awan hitam berarak laju itu seakan menggenggamku?
Kemudiannya datang pula ribut kilat yang sabung menyabung dan hujan lebat menghempas diriku. Melangkah gagah dalam samar.
Sedang aku masih merangkak laju dalam hujan.
Dua puluh minit telah meninggalkan hujan yang pergi.
Cahaya lembut mulai mampir..
Sang mentari mula menyinari tubuhku.
Kemudian matahari senja itu telah pula membakar tubuhku.
Asap kepul entah dari mana muncul sehingga tidak cukup nafasku.
Sekali lagi awan kelabu memerangkapku.
Dan.. kali ini lebih besar.
Dedaunan mula berterbangan.
Dan.. berkecamuklah segala macam roh di jagat raya! Akhirnya..
hujan rintik bersama laju air mataku mencurah di bumi serambi mekah. 

Tuesday, August 1, 2017

Adakah Juraian Meteor Itu Kelihatan Sama?




Merenung ke arah sebuah diari fenomena samawi
Ya. Kali ini senarai fenomena langit utama itu bakal menarik langkah kakiku untuk mencerap pada tahun 2017



Mungkinkah kali ini senarai semua juraian meteor utama itu dapatku sempurnakan?
Adakah juraian meteor itu sama seperti bunga api yang pernah daku lihat pada 19 tahun lalu?

Monday, July 3, 2017

Berbuai Di LangitMu



Di segenap malam..
Di setiap solat malamnya yang panjang
Berkeluh kesah memintaMu ya Rabb.. bukakan jalan
Terpisahlah dari dunia
Menyendiri..menjauhi manusia
Demi laluan sufi
Dan..dia wanita sufi..
Sesufi 44 wanita yang berbuai di langitMu Tuhan..
Mohon petunjuk kebenaran
Bersimpuh memohon dalam pengibadahan beserta pengabdian malam yang panjang..
mengetuk, memujuk supaya Engkau (Allah s.w.t) bukakan pintumu!

Sunday, July 2, 2017

Di saat, Di kala..



Di saat dunia masih sibuk pada waktu malamnya.
Di kala bintang berselerakan di dada langit
Di saat terlihatkan terangnya bulan di malam hari
Di kala terlihatkan hijaunya hutan dan derasnya air terjun
Di saat melihat birunya langit dan cerahnya mentari
Di kala jantungku resah bulan masih berlagu cahaya
Di saat jemaah haji mengelilingi kaabah ibarat galaksi
Di kala jantungku masih lagi digerudi kesakitan
Di saat banyaknya penindasan dan berajanya kezaliman
Di kala memikirkan berapa lama lagi diberikan masa untuk hidup.
Di saat terfikirkan berapa banyak lagi dosa yang bakal ku lakukan dan berapa banyak lagi orang-orangan bakal lakukan.
Di kala tidak menyepi dunia tanpa dosa dan nafsu yang bermaharaja
Di saat Tuhan.. buangkan kegelisahan dan berikan ketenangan
Di kala mahukan ketenangan terus berkekalan
Di saat hanya mahu beribadah untuk ke syurgaMu..
Di kala mahu berusaha berterusan menuju ke jalanMu seperti janjiMu, Tuhan, Allahku..semesta alam.
Di saat tidak keseorangan dan ada kamu Tuhanku  yang bersifat kekal selamanya.

Friday, April 14, 2017

Naskah Terbaharu (Novel) Bakal Terbit !

Assalamualaikum dan Selamat sejahtera...

Buat teman dan sahabat yang sudah lama mengenali diri ini, juga buat pembaca setia yang menyokong naskah-naskahku, serta puisi lukisanku selama bergerak dalam aliran indie/alternatif ini.

Mungkin ramai yang tidak mengenaliku kerana aku bukanlah penulis prolifik. Namun, Alhamdulillah, mujur maha kuasa masih memberikanku buah fikiran untuk terus berkarya dengan caraku. Bukan terarah kepada karya negara seberang, mahupun barat. Namun berkarya dengan caraku sendiri. Karya anak jati Malaya dalam rumpun Melayu.









Terdahulu, sukaku khabarkan bahawa dua naskah antologi puisi Cheritera Pembuluh Darahku telah terjual sejak beberapa tahun lalu, iaitu pada penghujung 2007 dan penghujung 2011. Begitu juga dengan novel sulungku yang dicetak pada tahun 2009, berjudul Abad Lalu. Mungkin cetakannya agak terhad, namun terima kasih kepada yang sudi membelinya dan menyokong penulisanku selama ini. Alhamdulillah.



Kini, daku bakal kembali dengan novel keduaku. Kali ini ia bakal dipromosikan menerusi rangkaian network juga hebahan mulut kepada teman-teman seperti kebiasaannya. Sebelum ini promosi hebahan ini juga dikongsikan di blog lamaku namun blog itu telah di tutup kerana masalah teknikal sehinggalah bergantikan blog ini. Kala itu berasa teramat sedih kerana banyak karyaku di blog yang lama hilang sepertinya dijilat api.

Baiklah...Tutup saja cerita lama.

Karya terbaharuku ini bakal berada di pasaran sekitar Mei ini, kukira sebelum raya, InshaAllah.

Nantikan karyaku dan support #bukualternatif

Terima kasih semua!



Wanna A.R.





Tuesday, March 7, 2017

Cinta Jantungku



Diri yang sedang berperang.
Jantungku berdetak hanya mahukan kamu. Namun lahiriahnya cuma bayang hitam berselerakan.
Mari wahai kekasih suciku.
Yang tulus mencintaiku.
Datang kepadaku pengarang jantungku.
Jiwaku mati.
Tiada cinta bagi jantung yang telah lama mati. Hanya menantikan kamu.
Biar mengalir deras semula darah melalui pembuluh darahku.
Detakkan semula jantungku agar bergetaran dijagat raya.
Kamulah yang ku nanti- nantikan.
Kamulah..
Cinta jantungku.

Saturday, February 25, 2017

Sisi Lain, Aku Picisan Rusukmu

Matamu umpama sungai yang jernih.
Pandangan itu hanya aku saja yang tahu.
Tajam menikam.
Sesungguhnya cuma kamu berupaya melihat sisi diriku yang tidak mungkin sesiapapun dapat melihatnya.
Bagimu akulah bidadari syurga yang turun dari langit.
Dikau seakan membantu nafasku.
Bibirmu yang penuh pesona mengungkap rantaian kata-kata puitis dan bahasa cinta.
Terima kasih. Aku cukup gembira.
Ia membuatkan hatiku berbunga sehingga tiba hari perhitungan nanti.
Kau adalah sebahagian diriku.
Aku adalah picisan rusukmu.
Kita hanya berhidup di sisi lain namun getarannya memerangkap noktah pelengkap hidup.
Hubungan gelombang yang cukup kuat memerangkap kita di sisi lain.
Biarkan.
Aku yakin kita akan bertemu selepas hari kebangkitan, untuk kehidupan semula.
Aku tetap menantimu.
Bersama-sama berkilauan di langit tinggi.