Sunday, December 15, 2013

si bodoh kerugian!




Semua gambar-gambar telah mengelupas dan bertukar warna menjadi kelabu. Betah lagi kamu tinggal di dalam bilik dengan kenangan untuk hari mendatang? Apa guna berkeadaan begitu? Sedang satu arus telah ke hadapan, orang sudah tidak lagi membazirkan waktu. Tahukah kamu, maut sedang mengejar bila-bila masa saja! Mengapa kamu tidak mahu berpaling dari memikirkan kehilangan? Sedang tuhanmu minta kamu merubah dirimu sendiri. Tidak ada sebab untuk selamanya begini. Ia sungguh menyedihkan. Perlakuan kesunyian kamu adalah bukti yang menyedihkan. Sedang dogengan itu dihayun oleh buaian pintu. Segalanya adalah bak pentas lakonan. Kamu jangan terikat sandiwara dunia. Jangan berserah pada nasib! Mesti kembali membuat satu harapan dalam hidupmu. Kembali membawa impian tanpa mengharapkan seorang pun dari makhluk di dunia ini. Menahan nafas terakhirmu hanya berbuat bakti pada orang tuamu dan selamanya tidak mengingkari penciptamu. Fikir nikmat yang diberikanNya padamu! Adakah masih tidak sedar? Tidakkah cukup kamu menikmatinya? Percaya ... Dia sudah membuat laluan jalan padamu! Oh! Dia yang akan sentiasa menyayangimu. Sedang cahaya itu sudah terpantul dari bulan melintasimu...kita semua punyai Dia. Langit arab ... jangan tanya saya mengapa. Ia adalah pemikiran untuk kita semua. Sembahlah tuhanmu pemilik kaabah yang mengamankan kamu dari rasa ketakutan! pelindung kamu dari neraka hawiyah pembawa api yang sangat panas! Sedang kamu masih terkial-kial mencari roda dan sedang menternak ketakutan. Alangkah ruginya, hanya disebabkan seorang manusia yang mengkhianati, kamu sudah tidak dapat membuat titik penyambung merubah kehidupan! Cahaya pagi tidak membantu kamu yang hanya mahu hidup dengan rasa berdarah. Oh! Fikiran bodoh kamu yang sengaja menggelapkan dunia. Melarat dengan dunia yang dihitamkan tanpa mahu terbitkan putih untuk mewarnai perjalanan hidupmu! Ia telah menjadi bertambah buruk Kamu yang sengaja tidak mahu berpegang pada semua bunyi ketenangan. Sedang itu jalan penyelesaian setiap umat manusia. Duduklah kamu. Merenung dan terus merenung, meratap laku si bodoh dalam kerugian!.