Sunday, December 15, 2013

si bodoh kerugian!




Semua gambar-gambar telah mengelupas dan bertukar warna menjadi kelabu. Betah lagi kamu tinggal di dalam bilik dengan kenangan untuk hari mendatang? Apa guna berkeadaan begitu? Sedang satu arus telah ke hadapan, orang sudah tidak lagi membazirkan waktu. Tahukah kamu, maut sedang mengejar bila-bila masa saja! Mengapa kamu tidak mahu berpaling dari memikirkan kehilangan? Sedang tuhanmu minta kamu merubah dirimu sendiri. Tidak ada sebab untuk selamanya begini. Ia sungguh menyedihkan. Perlakuan kesunyian kamu adalah bukti yang menyedihkan. Sedang dogengan itu dihayun oleh buaian pintu. Segalanya adalah bak pentas lakonan. Kamu jangan terikat sandiwara dunia. Jangan berserah pada nasib! Mesti kembali membuat satu harapan dalam hidupmu. Kembali membawa impian tanpa mengharapkan seorang pun dari makhluk di dunia ini. Menahan nafas terakhirmu hanya berbuat bakti pada orang tuamu dan selamanya tidak mengingkari penciptamu. Fikir nikmat yang diberikanNya padamu! Adakah masih tidak sedar? Tidakkah cukup kamu menikmatinya? Percaya ... Dia sudah membuat laluan jalan padamu! Oh! Dia yang akan sentiasa menyayangimu. Sedang cahaya itu sudah terpantul dari bulan melintasimu...kita semua punyai Dia. Langit arab ... jangan tanya saya mengapa. Ia adalah pemikiran untuk kita semua. Sembahlah tuhanmu pemilik kaabah yang mengamankan kamu dari rasa ketakutan! pelindung kamu dari neraka hawiyah pembawa api yang sangat panas! Sedang kamu masih terkial-kial mencari roda dan sedang menternak ketakutan. Alangkah ruginya, hanya disebabkan seorang manusia yang mengkhianati, kamu sudah tidak dapat membuat titik penyambung merubah kehidupan! Cahaya pagi tidak membantu kamu yang hanya mahu hidup dengan rasa berdarah. Oh! Fikiran bodoh kamu yang sengaja menggelapkan dunia. Melarat dengan dunia yang dihitamkan tanpa mahu terbitkan putih untuk mewarnai perjalanan hidupmu! Ia telah menjadi bertambah buruk Kamu yang sengaja tidak mahu berpegang pada semua bunyi ketenangan. Sedang itu jalan penyelesaian setiap umat manusia. Duduklah kamu. Merenung dan terus merenung, meratap laku si bodoh dalam kerugian!.

Saturday, November 30, 2013

Menyimpang arus elegan





Adakah seperti sesuatu yang hilang di sini? Aku berdiri dan menghadapi cahaya terang. Tidak perlu menyembunyikan mataku Tidak perlu berteduh di bawah lembayung Tidak perlu bercermin mata hitam. Hanya perlu memujiMu dan KekasihMu Rabb, setiap hari. Sudah tiba masanya, menyimpangkan arus elegan. Aku terus menerus diserang seseorang. Namun aku tidak dapat mencari apa-apa bayangan. Mata sememangnya liar selama-lamanya. Dicipta untuk menghukum dan memujuk. Yang tinggal adalah iris berjelaga. Ia memberikan ku fakta bahawa wujudnya hitam dan prasangka. Lampu aurora itu berhenti bersinar dan aku masih lagi hidup. Terfikir untuk berapa kali lagi diberikan peluang untuk hidup. Itu pertama sekali dalam fikiranku. Walau cepat waktu berlalu, namun ia terasa panjang dalam hidup. Tidak membuat aku berasa lebih baik. Daripada penglihatan, di luar pemikiran, apa yang ada hanyalah tangan untuk menadah dan lidah untuk berkumit melafaz. Tidak harus meladeni lagi. Walau terpisah oleh waktu namun perlu betah bertahan. Sehinggalah, berhenti berayun dari tanah puaka. Melalui hari yang menggila. Cahaya seperti benang memasuki ruang, Terang seperti bintang yang hampir mati. Mungkin ia boleh dikira sebuah ketenangan dari perasaan bosan. Namun, ada yang salah, ada sesuatu yang salah, apabila ia semua tetaplah salah. Walaupun aku membilang hari berapa lama lagi aku akan di sini. Ku akui, panahan cahaya sesekali membawaku meneroka alam sejarah. Menghayati dari kisah dan gaya hidup kekasihMu, laku bicara yang mempercayakan kedua kakinya untuk menerjang jauh menyebarkan agama. Tergila aku jalan pemikirannya. Dia, kekasihMu punya lingkaran jiwa yang telah menarik langkah kakiku untuk terus berkelana dan terus mendaki ke gurun pasir. Sungguhlah!Walau letupan lahar api menggelegak. Walau pendinding air terjun pecah. Aku tidak akan berehat sehingga dunia tahu akan penghijrahan itu bukanlah hal yang sia-sia! Dengan mata yang luas, pemandangan sudahpun berpecah. Pergi meninggalkan waktu subuh di kota itu. Aku yakin ada hari baru yang tidak tersangkakan. Aku di jalan yang kurang rintangan. Tidak akan pernah membuat janji. Dan tidak mahu lagi terlibat dengan janji-janji yang memalsukan harapan!.

Saturday, November 16, 2013

Berkelana






Dipisahkan dengan deruan ombak. Tak dapat lagi bermain buih gelombang. Hanya suara angin menghembus lagi.. Suara gagak berteriak lagi ... Sedang ingin sediakan hamparan namun terhenti di situ. Ya! Rupanya saya sedang lena dan hampir melupakan tujuan asal saya! Selepas menuruni bukit itu, saya amati si pengembala. Saya lihat dia mengutip kayu di gurun pasir itu. Hanya seekor unta bersamanya. Sungguhlah tenang riak wajahnya. Tiba-tiba saja akan datang ribut melitupinya. Namun, dia tidak fikirkan apa-apa kemungkinan yang berlaku, kerana jiwanya sudah berserah pada Rabb. Saya melihat kitab lusuh yang digantung dalam beg kainnya yang sedikit koyak, mungkin bila-bila masa saja akan tembus!. Sememangnya dia sentiasa membeleknya! Oh, sebelum ini dia seorang saudagar yang kaya. Dia kembara hanya untuk melihat kebesaran dan kebijaksanaan maha pencipta. Mahu teroka banyak perkara dari tinggal diam di rumah agamnya. Saya yakin, dia juga ingin berdakwah kepada pemuda dan pemudi yang ditemuinya walaupun dengan sepotong ayat dari kitab agung. Allahuakhbar! Moga ramai lagi manusia sepertinya! Sekarang saya juga punya misi yang sama. Saya sedang meninggalkan tanah yang terdapat awan mendung meliputinya. Teringat saranan Rasulullah SAW yang meminta umatnya mengamalkan suratul Kahfi, kerana ia merupakan pendinding ketenangan. Dan, hafazan sepuluh ayat pertama surah itu dilindungi dari fitnah dajjal. Oh! Dunia akhir zaman, yang penuh kealpaan, kepura puraan, fitnah dan sihir. Alif, Laam, Mim...suratul baqarah hingga ayat tujuh, yang mengingatkan Quran itu kepada semua bahawa tidak ada sebarang syak padanya sekali gus menjadikan petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Dengarlah wahai sahabat-sahabat, bahawa ayat tujuh suratul baqarah menyebutkan "Allah mematerikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar,". Inilah yang saya bekalkan untuk berkelana ke gurun pasir meninggalkan bandar hitam yang penuh puaka!

Sunday, November 3, 2013

Hari yang panjang





Hari yang panjang, aku terus memegang soalan dengan sejuta jawapan. Telah menunggu sepanjang hari. Telah menunggu sepanjang tahun. Ia adalah benar! Tanda-tanda itu pudar. Hanya air yang mengalir. Kebelakangan ini aku makan di situ. Mengingatkan aku pada bukit itu. Ingin sekali berumah dan berpakaian seperti wanita itu. Melalui kehidupan sederhana bersama tetangga di bukit itu. Aku akan singgah jika ada kesempatan dan bersisa umurku. Sekali lagi merobek balutan itu. Dan melihat lagi di sebalik rupa yang berdarah. Menjelma dimimpiku lelaki berketayap hitam, si penjaga ka'abah!cukuplah tegas. Hari berlalu lagi. Hari ini adalah hari yang panjang. Terdengar ada ramai yang beriman. Dia juga beriman seperti yang lain. Dia yang selalunya tidak merungut kepada apa-apa. Aku melalui lagi sepanjang hari, telah menunggu sepanjang hari. Leka sehingga berhenti membaca. Setiap helaian kitab sudahku selak. Cuma belum sempurna dalam hafazan. Harapnya semua itu tidak hilang dalam kekusutan ini. Hari yang begitu panjang. Aku masih ingat. Dan mahu tetap ingat. Walau mataku akhir-akhir ini agak kabur. Menunggu lagi sepanjang hari. Menunggu lagi sepanjang tahun. Bilakan sampai masanya untuk bersujud mencium tanah haramMu. Menghirup udara angin sahara. Untuk merasai lagi bara suhu yang memuncak. Fikiran dan keinginan ini tidak akan berhenti. Melalui semua sel-sel otak sehingga otak tertanam di kuburan. Cita-cita ini tetap tersimpan di hatiku, di satu sudut paling dalam. Merebak setiap penjuru hati secara perlahan-lahan. Keinginan selaras keperluan..menyerap masuk ke dalam minda. Aku tidak pernah lihat dalam masa yang paling lama. Terpaksa berkata, ya! Meskipun jalannya sukar. Meskipun waktu tidak panjang dan tidak cukup. Fikiranku seperti orang bodoh. Akan sampai waktunya menyerap masuk ke dalam tanah. Hanya mahu mimpiku dikabul Rabb.

Monday, October 28, 2013

NamaNya begitu indah!





NamaNya meniti dibibirku Begitu indah mengukir hatiku Menyentuh jiwaku... Kerana Dia juga kekasihNya begitu indah! Berderai air mataku di puncak bukit itu. Bagaikan melayang memeluk bintang.. Ku kenang semula segala lakuku, melakar namaNya pada setiap ruang Hanya namaNya ibarat nyanyian angin. NamaNya yang membawaku ke sini..NamaNya hapuskan semua kegelisahanku. (Duhai cintaku duhai pujaanku hanya namamu bagai darah mengalir deras ke jantungku.. Bilamana cinta sampai kepadaku tetaplah ia. Tenang dan sejahteralah ia di sampingku. Kerana ku ingin hidupku selalu dalam jagaanMu. Aku sentiasa memanggilMu Aku sentiasa merinduMu Aku sentiasa mencintaiMu!) Dia begitu indah, kerana Dia aku bernafas..kerana Dia aku diciptakan..kerana Dia, Tuhanku semesta alam.

Saturday, October 19, 2013

Proses penyeimbangan hati




Pagi itu, proses penyeimbangan hati sedang berlaku. Matanya sering bertindak balas dengan keadaan hati. Gangguan emosinya bersangkutan hati atau bebanan kerja bertambah teruk. Mengapalah baru kini dia terfikir. Melakukan segalanya pada waktu dia tidak berupaya. Ketegangan mata dan kelopak mata makin dirasainya akibat tekanan perasaan dan bebanan yang berat sebelum ini. Bermonolog di dalam hatinya, keinsafan itu tidak berguna lagi. Ahhh...apa yang penting, dia kini hanya mahu beralih kepada perkara utama. Sedang bertenang walau kerongkong kering, bibirnya pucat dan berasa panas di tapak kakinya. Benarlah fikirnya, ingat lima perkara sebelum datang lima perkara. Kini dia hanya mahu mencapai penyeimbangan itu. Mahu selesaikan urusannya dengan maha kuasa. Meminta Rabb redakan sakit neurosisnya akibat bebanan mental. Bukan untuk apa-apa hanya untuk pengibadahan. Walau kini sistem jantungnya lemah, sistem saraf otak sedang bertahap lemah, malah sistem penghadaman juga sangat lemah. Namun, dia akan berserah kepada Allah dalam harian menuju matlamat asal sebagai hamba kepada Tuhannya.

Monday, October 14, 2013

Untuk pengibadahan yang tenang






Menikmati dan meratah bahasa indah dan peringatanNya di hadapan Baitullah. Amaran ini bagaikan berlaku esok! Seolah-olah langit, matahari dan seluruhnya menghempap kepalaku. Dapatkan aku bernafas untuk melakukan ibadah untukNya, sedang bumi ini sudah terlalu tua seiring bersama aku melangkah tua bersamanya. Ku tunggu sehingga matahari itu menyinar, walau darah merembes keluar dari hidungku, seiringan bersama angin sahara yang menerpa diwajahku. Aku tetap gagahi melangkah di gurun itu. Memasuki kawasan hanya untuk bertenang. Hanya untuk bertahan dan tinggal di negeri pemilik jasad kekasihNya.

Friday, September 20, 2013

Pasti ada bahagia




Bermimpikan senibina fasad dan motif corak lebah wahai masjid zamrud, Mexico. Sedang saya di bawah awan membiru. Bertemankan air laut yang hangat dan jus delima yang sejuk.




Seiring dengan kegelisahan hatiku. Wahai Tuhanku Rabb, saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan, tapi saya tahu saya akan beroleh kebahagiaan.

Tuesday, September 17, 2013

Cinta agung






Cinta hakiki itu begitu indah, mengukir di relung jiwanya yang suci..dimana telah membangunkan jiwanya. Sebagai kekasih, dia dengan rela melakukan segalanya Kerana dia tahu dirinya milik penciptaNya Dia yang datang bersama cahaya membawa cinta kepada semua, Membawa kebenaran dan petunjuk itu. Ya petunjuk itu telah sampai padaku..buah tangan yang tak ternilai yang bakal membawaku ke syurgaNya. Kuingin hidup dalam wangian ini. Memayungi bagaikan lembayung di kedinginan. Mengikut petunjuk kitab itu saja, pasti akan tenang di sana. Yang pasti, tempat itu buat semua makhluk yang mendambanya.

Benci itu kesakitan





Mengapa ada kebencian yang mengakar dalam jiwa? sedangkan jiwa yang membenci itu penuh dengan kesakitan? Tahukah kamu kesakitan bagaimana? Kesakitan yang dirobek-robek..seperti daging hati yang disiat-siat. Mengapa perlu wujud rasa sakit itu? Semuanya kerana benci yang menular sehingga ke relung hati. Mengapakah ramai yang merelakan? Bukankah ketenangan yang dicari dalam kehidupan? Bukankah hati yang penuh kebencian itu, adalah hati yang penuh dengan bisikan iblis. Ayuh... Musnahkanlah kebencian yang akan rosakkan jiwa. Kebencian itu akan menular meracuni kita. Bukankah jiwa pengasih itu lebih baik?. Cuba setiap dari kita hanya tahu mengasihi setiap manusia. Walaupun untuk melakukannya adalah perit sekali. Bukankah dengan cuba mengasihi kepada manusia yang penuh dengan perasaan benci itu, mereka juga akan cenderung melakukan perkara yang sama? Kecuali kepada mereka yang terlalu buta matahatinya. Percayalah..jika pegang keyakinan menyayangi sesama manusia, akan wujudnya cinta. Jika tidak mampu, usahlah mendendami, kerana pastinya yang wujud akan menghapus kebencian. Dan jiwa pengasih itu sangatlah murni. Mengertilah, bahawa sifat Tuhanmu itu maha mengasihi dan Dia sangat kasih kepada hambanya yang berjiwa pengasih.

Saturday, September 14, 2013

Fenomena unik langit malam






Bilakah langit malam kembali memperlihatkan fenomena uniknya? Fenomena bulan biru bisa dilihat dengan mata telanjang. Kejadian yang hanya berlaku setiap tiga tahun sekali. Oh...purnama kedua atau ketiga di suatu musim dari empat purnama. Bulan gerhana berwarna biru...bersisa lagikah hidupku untuk melihat bulan biru pada Julai 2015? Saat itu seluruh permukaan bulan yang menghadap ke Bumi disinari oleh Matahari. Hebat sungguh kuasaMu Ya Rabb!!

Mahu sekali lagi




Labbaika Allahumma labbaik Labbaika laa syarikalaka labbaik Innal hamda wa al-ni’mata laka wal Mulk La syarikalak! Kami sahut panggilanMu Ya Allah, kami sahut tiada sekutu bagiMu.. Ya Allah! Kami sahut..Segala pujian, nikmat & kerajaan adalah kepunyaanMu, Ya Allah, tiada sekutu denganMu..” Terkenang panggilanMu ya Rabb. Seperti malam dimana bulan purnama kian penuh. Menemani bumi yang terlalu istimewa. Hanya sekadar melihat video. Melihat giliran imam yang merdu suara bacaan Ayatul Kursinya. Suratul ikhlas pada rakaat keduanya. Bilakah lagi aku terima panggilanMu! Sungguh aku rindu!

harapan





Kesenyapan ini bagai berada di Masjid Quba dan Masjid Nabawi. Seakan mengaji ilmu pengajian Islam secara bertalaqqi. Dapatkah direalisasikan keadaan yang sederhana dan cukup tawadhuk ini?. Duduk berdiam di pondok papan daripada kayu hutan, beratapkan rembia atau nipah. Bersama 7 penghuni, punya jiwa yang sama dalam kalangan keluarga. Rutin harian cuma al-Quran dan Hadis. Manakala sumber lainnya adalah Ijma Ulama dan Qiyas Shahih. Ya Allah, adakah aku mampu beroleh kebaikan itu? Memiliki kefahaman dan kefaqihan di dalam agama? Alhamdulillah, sungguh beruntunglah pemilik ilmu feqah itu dan orang yang pakar dan tsiqah bidang itu. Allahuakbar!!

Thursday, September 5, 2013

Aku mahu manusia baik!




Di sini, dalam bilik ini aku berfikir! Semua yang ada adalah hitam dan putih. Tidak ada yang menyamai selepas malam. Sekalipun langit runtuh tidak mungkin angin fiksyen dapat mengubah apa-apa. Aku tidak dapat mengubah apa-apa untuk menghalang sesuatu yang dahsyat berlaku. Walaupun dengan sebaris ayatku. Sudah tuhan maha kuasa katakan hanya kamu dapat ubah dirimu sendiri. Bukan aku dan bukan siapa-siapa. Sekarang kamu di sini..membuat satu lagi dosa besar. Tidakkah kamu berasa bersalah?? Tidakkah tuhanmu sudah katakan perkara itu salah dan mengapa kamu dustakannya? Mengapa kamu mengikuti nafsumu? Bukankah sudah banyak petanda bahawa dunia sudah tua dan dirimu juga semakin berumur? Kamu bukan tidak tahu keburukan itu, namun kamu tetap melakukannya kerana merajai nafsu. Tidakkah kamu malu?? Kini kamu menyedarkan aku bahawa dunia seperti bintang-bintang yang malap. Dan ia seperti suluhan lampu yang malap dan akhirnya tiada memunculkan sinarnya. Aku sudah cukup jemu dengan kerosakan seperti ini. Rosaknya hubungan antara yang halal dan rosaknya pergaulan yang bukan muhrim. Mataku seakan buta, telingaku seakan tuli kerana terlalu banyak kemaksiatan. Hatiku tercalar dan parutnya tidak mungkin pernah sembuh. Apa yang merasuk setiap insan di muka bumi melaku perkara nista yang dilarang tuhannya? Bukankah mengambil perkara kebaikan dan menolak segala larangan adalah jalan menuju syurga. Sudah-sudahlah...tahukah kita bahawa dunia yang sedang berputar bebas seperti pusaran ini akan berhenti bila-bila masa apabila dikehendakiNya! Aku hanya mengharapkan kegilaan manusia akan berhenti. Tetapi..ia hanya sekadar permintaanku kepada yang maha kuasa. Selebihnya bergantung kepada gadis-gadis, teruna-teruna, suami dan isteri serta seluruh keturunan manusia. Ingatlah tuhanmu! Aliran darah itu seharusnya bergaul mengalir untuk perjuangan! Bukan untuk nafsu syahwat atau penipuan! Seperkara lagi...jangan biarkan mimpimu menjadi satu garisan senyuman kelat. Ia hanya akan diselangi dekahan ketawa yang sangat kuat. Aku mahu perkara baik! Aku mahu mimpi dan realiti yang baik! Aku mahu hakikat hidup yang baik! Dan..Aku mahu dunia dipenuhi seluruh manusia baik!

Samar




Dunia tidak adil? Atau kaukah yang tidak mengadili? Dengan cara itu, ia kelihatan seperti madu dan penawar bagi kerajaan kecil ini. Ada tangan masih terkapai-kapai menggagau debu. Hakikatnya orang di atas masih bermewah-mewahan. Bagai gris yang mengotori tanganmu. Dengan hasad dan penyelewengan..bagai awan kelabu yang bertiup lembut menutup samar kepada segalanya. Kelihatan indah bagai santapan syurga..yang mana teh dihangatkan dengan matahari, disapu jem dengan sinar bintang malam di atas roti bercahayakan bulan sabit di langit tinggi. Sebenarnya ia adalah satu pembohongan yang tiada batasan. Ya! Satu pembohongan yang pasti!

Sunday, August 18, 2013

Bumi piramid mandi darah





Jam 12 malam ini aku mengintai bulan. Di negara ini, bintang masih menampakkan sinar berliannya. Aku berasa bahagia. Tiba-tiba hatiku terus membungkam walau negara masih rukun..Namun tidak diketahui sampai bila? Jam 8 pagi, aku masih dapat melihat sinar plasma matahari yang sememangya menyubur semangat. Sedang di negara piramid setiap detiknya hanya bermandi darah. Mayat bergelimpang di sekitar ceruk. Jiwa yang tidak berdosa dibedil peluru tidak bermata. Banyak jasad terkorban di medan puaka. Ketika rakyat mulai bangkit, jiwa syaitan pemimpin sementara tetap hauskan wangian darah syurga. Dia sememangnya manusia yang tiada tuhan dihati! Bertuhankan nafsu merampas kuasa. tetaplah dia sebagai penghuni kayu api. Dia yang sangat rakus tidak akan pernah berhenti selagi tidak bertuhankan wang. Orang kanannya yang dicucuk hidung ada yang lari selamatkan diri. Ada juga yang terperangkap ditahan di rumahnya. Sudah lama hidup rasanya pemimpin kaki neraka ini! Lihat saja sampai bila kau bermaharaja! Tuhan Esa ada bersama rakyat piramid. Tidak kisahlah walau gesaan campur tangan sudah diasak, kerana jiwa orang yang bertangggungjawab melindung itu hanya melihat tanpa merubah apa-apa. Jiwa yang melihat itu cukup tandus! kosong! Menikus untuk menjengah dan menghantar bantuan. Jelek aku jelek! Akhirnya, semua melopong melihat kehancuran. Oh! Sudah hancur! Bisik mereka. Rakyat piramid hanya mampu berzikir menggegar negara itu. Bagaikan paksi penebat peluru rambang. Yang mengalir hanya wangian darah putih yang mekar di sisi tuhan. Bergema laungan terapi jiwa setiap detik di segenap penjuru. Alunan ayat al-quran mampu membawa jiwa kemenangan dan kemuliaan syahid mereka. Janji Allah, DIA sentiasa ada bersamamu!

Sunday, May 26, 2013

Tuan dan Hamba




Sebenarnya diri berasa terlalu letih. Letih melagukan rasa. Letih untuk mengulang semula. Tapi adakah hamba perlu teruskan begini? Bagai tiada kehidupan. Tiada semangat. Teruskan jua perjalanan walau beranjau? Namun, perempuan itu tetaplah perempuan. Sejak dulu, Hamba mahu darah baru membasahi bumi ini. Mampu menceriakan hari-hari hamba. Darah yang mengalir menjelmakan seorang yang warak dan disenangi semua, dengan izinNya. Saat ini, Hamba terfikirkan Tuan. Yang telah memukaukan Hamba...Bagaikan dewa yang turun dari kayangan! Seluruh alam raya berbisik, tersenyum riang menyambut Tuan. Tika inilah berasa bahwa usai sudah pencarian hamba. Namun, dapatkah Hamba melewatinya? Sayupan kata dari jiwa Tuan bagai alunan sungai yang mengalir. Setiap kalimah yang diungkap Tuan selalunya segar. Bagai penawar yang menghilangkan sunyi. Ya, boleh di ibarat bicara Tuan hanya terkandung kalimat بسم الله الرحمن الرحيم السلام عليكم و رحمة الله. Penawar segala gundah hamba. Menenangkan Hamba dan memberikan keyakinan bulat Hamba pada Rabb kepada segala situasi! Ketahuilah, Tuan itu anugerah dan telah dimuliakanNya berbanding yang lain. Syukur Alhamdulillah, Hamba mengenal Tuan. Berjuta bintang yang dihampar pada kaki langit, Tuanlah yang paling bersinar. Selama mengenali Tuan, tidak pernah Tuan menyakitkan Hamba seperti yang lain. Sangatlah pemurah Tuan kepada semua. Tuan itu pemilik hati yang ikhlas, punya luhur dan pekerti mulia. Sentiasa ada bila Hamba memerlukan. Senang sekali bersama Tuan. Mampu menghilang duka. Menghilang sedih hamba. Tuan, usahlah bercerita perkara lain, kerana hamba mahu mendengar apa seterusnya cerita kita. Tinggal menunggu Tuan saja. Lebih lagi kala hamba membasuh perih di saat duka mengalir. Mohon Tuan lihat di balik air mata hamba. Bukankah terdetik di hati bahwa kita punya waktu untuk menjalin mimpi bersama? Lupakanlah sejenak perkara lain..jangan biarkan hamba di belenggu rasa. Jika hati hamba terusik, basuhkanlah lara itu, pujuk segala rajuk rasa hamba. Bukankah Tuan saja orang yang paling memahami hamba? Walaupun sebelum ini ramai saja yang mendiskriminasikan! Mengapalah..? Ah biarkan saja..sudahpun Hamba menutup buku itu. Tuan, jujurkanlah hatimu. Buangkan segala perkara yang membatasi. Bukankah gerak hati kita sama? Tidakkah Tuan merasai dan menyedarinya? Tuan juga tahu siapa Hamba.. Cintailah diri Hamba apa adanya. Dan percayalah cinta ini akan menyatu dan membahagiakan. Insha Allah, izinNya.

Tuesday, May 7, 2013

Berita dari seorang anak laut





Saya seorang anak laut. Saya kini sudah kembali ke tempat asal keturunan saya. Kalau dah memang geng pelaut tu, pelaut jugalah. Hidup saya kini semakin tenang...imbasan yang selama ini saya bayangkan sedikit sebanyak telahpun berkesempatan untuk saya lakukan di sini. Punya tanah di sini, untuk mendirikan tempat teduhan bukanlah sesuatu yang sukar. Kata orang jangan berumah ditepi pantai jika takut dilambung ombak. Betul tu. Dan saya tidak takut apa-apa cuma apa yang ditakutkan, kalau saya mati tidak sempat bawa buah tangan amalan pada Rabb. Di sini juga, saya dapat merasakan udara inilah yang saya rindukan pada setiap kalinya. Pada waktu malam saya dan keluarga akan berkumpul memulakan aktiviti membaca tafsir secara bulatan. Pada tengah malamnya, saya mewajibkan untuk teropong bulan dan menangkap gambar melalui teleskop dengan DSLR. Secara teknikalnya, pada permulaan, memanglah susah, tapi lama kelamaan menjadi mudah. Gambar-gambar astrofotografi yang dikumpulkan ini bukanlah untuk dijual, namun sekadar mengisi masa lapang saya sahaja, untuk diframekan dalam album. Bagi saya itu adalah satu kepuasan. Sewaktu dinihari saya akan bersiap untuk ke tengah laut. Tengahari menjemur ikan dan sotong untuk dijadikan lauk tambahan. Di sini tidak sesulit mana, kerana tidak perlu bermewah mewahan, cukup ada peti televisyen untuk mengetahui berita semasa, kerusi rotan atau kayu untuk tetamu yang datang dan kereta yang antik untuk saya bergerak ke pasar. Tidak perlu ada peti ais untuk menyimpan fishball, hashbrown atau makanan segera lain. Kerana kehidupan disini mengajar saya untuk makan makanan yang segar yang hanya diperolehi dari tangkapan melalui isi perut bumi sahaja. Di setiap kalinya pun saya akan menghirup hanyiran laut yang terbentang luas. Walaupun tika waktu saya sedang mandi. Udara disini seolahnya kita berada dalam laut. Kadang kala jika musim air tanah tidak naik akibat kering, air lautlah yang menjadi air sasaran mandian kami sekeluarga. Dan bagi saya itulah kenikmatannya. Walaupun laut disini tidaklah terlalu bersih seperti laut sebelum saya dilahirkan namun saya dapat menerima ia sekadarnya. Benar, disini juga turut beberapa kali berlaku pergolakan tsunami. Tetapi, gelombang itu tidak sedahsyat di Jepun, Pulau Pinang dan Langkawi. Ahhh...biarkan saja kerana ajal maut ini di tanganNya. Sejauh manapun kita berlari tak akan dapat terlepas dari maut walaupun tersangkar di rumah agam. Ingatlah janji Allah dalam ayat-ayat peringatanNya!. Bagi saya, ada ketenangan di sini. Kami sekeluarga dapat bertenang di sini. Saya tidak kisahkan apa-apa lagi walau kulit sudah semakin cokelat seperti orang pulau. Laut di sini juga, banyak pohon kelapa..sepertinya sebuah perkampungan kelapa. Namun, ia tidak membataskan berlakunya aktiviti cerapan bulan disini. Cerapan boleh juga boleh dilakukan di kampung sebelah hujung sana. Di sana hanya menerima gangguan ribut pasir kecil sahaja. Kerana dikampung itu masih tidak banyak rumah didirikan. Ketika itu, kita dapat melihat kelahiran anak bulan untuk berpuasa dan menyambut kelahiran bulan baru untuk kemenangan berpuasa di hari raya. Sungguh takjub saya melihat baby bulan. Tidak perlu pun guna alat cerapan...semuanya hanyalah bantuan teleskop. Walaupun teleskop itu kecil pun sudah memadai dan masih boleh mlihat perkembangan imkanur rukyah itu. Di sini juga adakalanya saya berbumbungkan langit dan berbaring di daunan yang besar. Mencantumkannya. Haha...pengalaman indah seperti mencantumkan puzzle...namun selalu menerima gangguan angin yang menderu. Tetapi aktiviti itu tidak selalunya saya lakukan kerana saya teringat kata-kata seseorang bahawa di dalam laut ada naga. Mana tahu bila-bila masa sahaja naga itu boleh naik ke darat dan membaham saya takpun ia bakar saya hingga rentung. Sedang ketika itu saya asyik tidur lena sehingga tidak sengaja meninggalkan tahajjud malam. Tapi bila difikir sejenak, tidaklah pula saya tahu dari laut mana ia muncul. Hai...fikir saya, kalau pun ada...mungkin naga tu belum sampai sini lagi sebab ia mungkin masih di perairan perut bumi di sebelah benua Arab. Apapun..saya sangat gembira di sini. Dan sekiranya segelintir dari kita berminat untuk menjadi golongan pelaut...cubalah aktiviti yang saya lakukan di sini. Ia cukup menenangkan jiwa. Sekian, terima kasih...selamat berjuang untuk memperolehi kehidupan anda yang bahagia. Salam dari, Budak laut.

Tuesday, April 30, 2013

Aku takut peringatan itu!




Waktu merangkak ke jam 7.00 petang...kita di mana? ia adalah penghujung hari dan penutup segala catitan. Sudahkah kau tunaikan tanggungjawabmu? Kau dan aku perlu ingat akan kematian... Aku takut... Takut tidak sempat kepada apa-apa. Aku takut datangnya saat seluruh tubuh kita menggigil kerana tibanya panggilan maut. Kau juga takut hanyut dengan kenikmatan, bukan? Aku juga tak mahu hanyut tanpa memikirkan soal kematian. Tapi aku telah menanya diriku adakah aku memulakan langkah itu? Nampaknya tidak! Aku terlalu hanyut dan melebihkan beberapa perkara di atas dunia ini. Kau juga sama bukan? Cuba kau tanya dirimu apakah persiapan diri dan amalan yang telah kau lakukan untuk ditinggalkan sesudah mati? Apa jawapanmu? Aku kira kau juga tidak punya jawapan itu! Manakan ada seorang hamba di muka dunia tahu seberapa banyak amalan sudah dilakukannya! Hairan aku kepada sesiapa saja yang mengakuinya! Kau dan aku perlu sentiasa beringat! Perlu mengingatkan antara kita! Jangan sampai hari esok hari terakhir kita! Kau dan aku juga takut akan daun yang tertulis nama kita gugur dari pokok di atas Arasy, bukan? Takut di masa kita terlewat kepada segala amalan. Aku takut..takut jika kita leka ketika malaikat maut mengambil daun itu dan mulakan persediaannya ke atas kita! Na'uzubillahi min zalik! Berdoalah kita, supaya dapat beramal dan meneruskannya.

Saturday, February 23, 2013

Aku lihat syurga di matamu




Merentaslah aku ke negeri tiga bulan, berbekalkan madu dan delima. Disaat gelombang delta melayakkan orang memasuki waktu rehat, aku masih menghenyakkan kelenjar pineal demi membutuhkan wang. Kala itu, aku lihat ada petunjuk syurga dari matahati seorang Adam. Aku yakin itu kamu, yang mengerti dan bisa menamatkan keadaan sulitku. kamu sentiasa ada membantuku. Pendakianku hari ini berkeringat di Gua Hira'. Di malam yang dipenuhi bintang,aku melihat bulan. Sedang aku dalam keletihan lalu terlena bermimpikanmu wahai Tuan. Ya, tentang melahir zuriat keturunanmu. Kukira ada komunikasi hati di saat azan subuh berkumandang tika ini... mengertilah aku bahawa kau dilahirkan untuk menggunakan buah fikiran dan suara kelantangan demi membantu orang yang tidak bersalah. Janganlah bersedih lagi dan gundah gulana di atas ujian yang melanda hidupmu. Kerana Allah akan memberi kepada Tuan, anugerah yang paling bermakna. InsyaAllah yang akan menceriakan hari Tuan... Namun selepas ini jangan mengeluh pabila Tuan tidak mampu lagi tuk tidur lena, kerana bulan itu telah mencuri tidurmu.

Friday, February 22, 2013

Kita adalah satu



Segala-galanya terikat. Tiada satu pintu terkunci, kerana jiwa kita menyatu. Hidup kita seperti sebuah buku yang terbuka. Kita sudah tidak lagi mencari buku kerana kita milik semua. Dengan akar kita menjadi sebuah naungan. Biarkan saja hati kita di situ, kerana hati yang pergi ibarat pemberontak. Kita adalah yang memberikan pengertian kepada kekosongan. Aku ingin bersama selamanya melihat kita sentiasa di sini. HAPPY FRIENDSHIP FOREVER MY BELOVED FRIENDS...

Sunday, January 13, 2013

Seni perang senyap



Perlukah aku berkata-kata lagi? Rasanya seperti tak mahu bercakap, hanya mahu berdiam. Mungkin aku takut dengan bayang sendiri. Takut apa yang mungkin aku katakan. Aku sengaja menggigit lidah setiap kali kau datang sehingga menyebabkan pendarahan di dalam mulutku. Aku hanya menahan nafas apabila kau datang dengan senyuman palsu. Dalam tenang dan arif, antara ego dan penghakiman telah membuktikan kepadaku bahawa ia sangat bernilai, berbanding emas-emasmu. Aku selamanya mahu menjadi lebih berhati-hati kerana darah panasku akan mula mendidih pabila melihat kau. Sedarilah... bahawa kau telah membawa seni perang senyap.

Apa yang perlu dibuang?




Jam 9:00, aku memulakan hari dengan berfikir tentang apa yang boleh dibuang. Terfikir manakan boleh aku memutar kembali masa yang berlalu cepat. Merentasi hidup dengan baik sehingga akhir walaupun aku terlepas beberapa bahagian terbaik dalam hidup. Bolehkah kita kembali untuk memulakan? Tiada siapa bersebelah. Sekali lagi, hari mendatang aku mahu perjalanan yang tenang. Aku tidak pernah terfikir berada di sini dengan sesiapa, kerana di dalam hatiku yang paling dalam ada ketakutan yang lama. Ampunkanlah ketidaktegasanku ya Rabb. Aku hanya hambamu. Seorang perempuan pula.

Monday, January 7, 2013

Rasa kesakitan sebenar




Benci..dan kau perlu tahu rasa kesakitan mati yang dilibatkan keturunanmu kepada saudaraku. Aku mahu kau tahu bagaimana rasanya sakit dan pedih seksaan. Semua kesakitan yang kau mulakan, aku rasakannya dan kesakitan ini tidak dapat menyembuh sekalipun orangmu menjadi tawanan tuhan. Kesemua dari orangmu tidak mengerti erti kesakitan kerana kau berasa kau dianiaya demi menuntut tanah yang bukan milikmu. Kau adalah lahanat yang menghancurkan jasad para solihin, kanak dan wanita yang tidak berdosa. Kau, askarmu telah hancurkan ratusan tempat ibadahku. Sekarang kau letakkan tanganmu ke udara..dan kemari, supaya aku dapat tunjukkan padamu erti kesakitan yang sebenar..!

Sunday, January 6, 2013

Tunggu saja saatnya

Besok sehari lagi... Aku tahu kau membenci aku kerana tinggal di bandar kecil ini dan tahu kegiatan kau. Tapi aku masih bertanya adakah engkau akan sampai ke sini lagi? Ia bukanlah kerana aku, tapi kerana orang yang ditimpa jongkong emas ni. Ya, memang tempat ni merupakan sebuah bandar kecil yang tak hidup. Malah, kebanyakkan rumah tumpangannya tidak ada air. Sukar juga untuk mendapatkan air bersih untuk diminum. Dan, sudah pastinya jika kau datang, aku dapat lihat jelas di mata kau bahawa duit yang membawa kau kesini. Kau selalu berkata bahawa duit bukan segalanya, kerana tak mampu membahagiakan. Tapi aku lihat jelas ketamakan di mata kau. Dimana saja punya lubuk wang, kau pasti ada. Melihat kau begini, adakah kau berfikir selamanya akan terus hidup seperti seorang raja? Minta maaf, sesungguhnya aku amat meragukannya. Tunggu saja saatnya.

Saturday, January 5, 2013

Devisyen jenayah

Divisyen demi divisyen.. aku harus lebih cekal... kali ini lebih kepada latihan rohani berhadapan kematian..berkata-kata dan berucapan dengan mayat-mayat, berhadapan kehancuran rumah tangga, kebakaran, pergelutan, kongsi gelap dan perdagangan manusia.. berhidup lagi sebagai gelandangan.. memaksa untuk terus berkuat di divisyen ini..harus habiskan sedikit lagi sebelum aku tetapkan untuk berpergian.